Wednesday, 16 April 2014

KAEDAH PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN PEMULIHAN


Program pendidikan pemulihan dijalankan secara terancang dengan adanya peringkat-peringkat seperti pencalonan murid, pengumpulan maklumat, proses saringan, proses diagnostik, analisa ujian diagnostik dan pengamatan dan tindakan susulan.

Pencalonan murid
Pencalonan murid merupakan asas dalam pendidikan pemulihan dan merupakan peringkat pertama dan juga peringkat yang paling penting dalam melaksanakan program pendidikan pemulihan. Pencalonan dan proses mengenalpasti calon dapat diketahui melalui beberapa cara iaitu melalui guru kelas, guru mata pelajaran, guru besar dan ibu bapa. Guru kelas boleh mencalonkan murid-murid untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan beberapa perkara, antaranya ialah pencapaian murid-murid dalam penguasaan kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), berdasarkan hasil kerja mereka, keputusan ujian bulanan dan ujian dalam setiap kemahiran. Guru mata pelajaran bahasa Melayu dan juga Matematik boleh mencalonkan murid-murid yang diajar oleh mereka untuk mengikuti kelas pemulihan berdasarkan atas pencapaian mereka. Guru besar boleh mencalonkan murid mengikuti kelas pemulihan berdasarkan pemerhatian beliau. Ibu bapa atau penjaga boleh mencalonkan anak jagaan mereka berdasarkan masalah pembelajaran anak mereka.

Pengumpulan maklumat
Butir-butir individu dan prestasi murid dapat membantu guru pemulihan memahami murid yang dicalonkan. Hal ini dapat menyenangkan guru pemulihan untuk membuat keputusan sama ada murid itu akan mengikuti kelas pemulihan ataupun tidak. Rekod individu ini akan membantu guru pemulihan mengetahui beberapa perkara dalam mencalonkan murid pemulihan dan juga dapat membantu guru pemulihan dalam mengetahui sejauh mana keupayaan murid yang dicalonkan dalam mata pelajaran asas seperti Matematik dan Bahasa Melayu.

Proses saringan
Proses ujian saringan berfungsi sebagai satu instrumen pengukur terhadap kekuatan serta kelemahan dalam menguasai kemahiran-kemahiran asas oleh murid yang ingin dicalonkan. Ujian ini dapat mengesan murid-murid yang lemah dan memerlukan bantuan pendidikan pemulihan. Dengan kata lain, ujian ini bertujuan untuk menentukan calon yang layak untuk dimasukkan ke program pendidikan pemulihan. Bahan yang dimasukkan dalam ujian saringan hanyalah kerja-kerja yang telah diajar oleh guru kelas sehingga masa saringan diberikan. Oleh itu, senarai kemahiran yang diuji hendaklah ditentukan dan direkodkan dalam jadual penentu ujian. Ujian boleh dijalankan apabila pencalonan diterima. Selain itu, keputusan ujian akan direkodkan dalam borang rekod ujian untuk difailkan. Murid yang dicalonkan ke dalam kelas pemulihan adalah diatas beberapa faktor, antaranya ialah skor yang lemah, jenis masalah yang dihadapi oleh murid dan ruang yang ada untuk kelas pemulihan.

Proses diagnostik
Ujian diagnostik merupakan ujian yang terpenting dalam program pendidikan pemulihan. Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan mengesan tahap kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid yang sudah dicalonkan dalam kelas pemulihan. Ujian ini juga wajib dijalankan dengan tujuan untuk membantu mengesan tahap kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh seseorang murid secara khususnya dan seterusnya membantu objektif pengajaran. Ujian ini dibentuk untuk menilai peringkat pencapaian murid dan mengesan masalah yang dialami oleh murid ketika belajar dan mengenalpasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. 

Analisa ujian diagnostik dan pengamatan
Segala keputusan dikumpul dan direkodkan dan diberi interpretasi dengan cermat untuk memastikan setiap masalah murid pemulihan. Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan tahap kelemahan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Cara ini dapat membantu guru mengenalpasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan tahap kesukaran yang dihadapi oleh murid. Analisa kesalahan ujian juga dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik. Berdasarkan kepada analisa kesalahan ujian diagnostik, guru pemulihan dapat mengenalpasti tahap kelemahan murid yang telah dipilih. Tahap kelemahan murid dapat membantu guru pemulihan untuk memilih kemahiran yang tepat untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tindakan susulan
Murid-murid pemulihan yang dapat menguasai kemahiran yang telah dipulihkan akan menjalankan kerja susulan yang dijalankan oleh guru kelas biasa dengan bantuan dan kerjasama dari guru pemulihan. Guru kelas, guru mata pelajaran dan guru pemulihan perlu bekerjasama bagi mengukuhkan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid tersebut. Murid pemulihan yang berjaya menguasai kemahiran akan ditempatkan ke kelas biasa untuk mengikuti proses pembelajaran seterusnya mereka akan sentiasa dipantau oleh guru pemulihan ketika berada di kelas biasa.

Strategi pelaksanaan program pemulihan merupakan satu langkah yang penting ke arah kejayaan sesuatu program pendidikan pemulihan di sekolah. Strategi pelaksanaan program tersebut dapat membantu guru pemulihan untuk melaksanakan program pendidikan pemulihan dengan lebih berkesan. 

No comments:

Post a Comment