Wednesday, 16 April 2014

KEPERLUAN PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN PEMULIHAN DI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH DI MALAYSIA

Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama program pendidikan pemulihan adalah untuk:
  • Membantu mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu
  • Membantu murid untuk mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran
  • Memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran
Menurut Blair (1968), program pendidikan pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
  • Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan
  • Untuk mengajar buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari. Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid
Program pendidikan pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan membentuk tabiat baik yang belum ada pada murid. Bagi keperluan guru, untuk mengatasi kedua-dua jenis kelemahan ini, prinsip-prinsip pengajaran yang harus digunakan ialah berasaskan psikologi, di samping terdapatnya berbagai-bagai cara bekerja, teknik dan alat pelaksanaannya. Berikut adalah tujuan-tujuan pendidikan pemulihan:
  • Mengenalpasti murid yang memerlukan pemulihan
  • Untuk mewujudkan alat-alat diagnostik supaya dapat mengesan kesulitan pembelajaran tertentu
  • Mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap murid
  • Mencegah sesuatu kurang upaya supaya tidak menjadi satu kecacatan
  • Merapatkan hubungan antara guru biasa dan guru khas supaya layanan yang diberi oleh guru khas dapat diteguhkan oleh guru biasa
  • Membentuk komunikasi yang berkesan dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap murid



No comments:

Post a Comment