Wednesday, 16 April 2014

PERKEMBANGAN PELAKSANAAN PROGRAM PENDIDIKAN PEMULIHAN DI SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA (SJKC)

Walaupun latihan guru pemulihan telah dilaksanakan secara intensif sejak tahun 1980-an tetapi pelaksanaan program pendidikan pemulihan masih lagi tidak dapat dijalankan dengan berkesan. Mulai tahun 2007, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mula memberi perhatian yang serius bagi menjayakan program pendidikan pemulihan di samping Sekolah Jenis Kebangsaan Cina juga memberi perhatian terhadap murid pemulihan yang lemah di sekolah.

Wujudnya kelemahan pelaksanaan pendidikan pemulihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana belum dititikberatkan terhadap dasar ini sebelum tahun 2007. 
  • Guru pemulihan kadang-kala diarah oleh guru besar untuk menggantikan tugas guru-guru yang tidak hadir untuk menggantikan kelas mereka. Oleh itu, kelas pemulihan terpaksa ditunda.
  • Pelantikan guru pemulihan adalah dilantik oleh guru besar sekolah rendah untuk menggantikan jawatan kosong tersebut di samping guru tersebut tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran untuk menjalankan pendidikan pemulihan dengan berkesan.
  • Masa yang diperuntukkan terlalu rigid atau ketat sehingga pelaksanaan program pendidikan pemulihan terpaksa dihentikan apabila murid-murid pemulihan terpaksa balik ke kelas masing-masing di samping ditambah kerja rumah yang diperolehi di kelas biasa dan kelas pemulihan.
  • Bilik pemulihan tidak begitu sesuai kerana kekurangan alatan. Pihak sekolah terpaksa mengadakan bilik pemulihan di tempat-tempat yang tidak berkeperluan asas sebagai kelas seperti bilik stor yang terletak di sebelah tandas dan mengadakan ‘bilik sementara’ kerana kekurangan bilik darjah.
  • Bilik pemulihan pada peringkat awal kecil seperti bilik stor. Kini, saiz bilik pemulihan dibesarkan kepada standard bilik kelas biasa dan disediakan dengan alatan-alatan dan perabot, dihiaskan dengan keceriaan dan dilengkapi dengan alat bantu mengajar (ABM).
  • Guru-guru pemulihan diberikan peluang untuk mengikuti kursus pendidikan pemulihan untuk memantapkan pengetahuan guru-guru.

Program pendidikan pemulihan yang dilaksanakan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
Sistem ‘withdrawal’
Murid-murid yang lemah dan terpilih dari kelas biasa akan dimasukkan ke dalam kelas pemulihan. Guru pemulihan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan rajin, tekun, bertenaga dengan alat bantu mengajar yang menarik dan sesuai sehingga murid-murid pemulihan mampu menguasai kemahiran-kemahiran yang gagal dikuasai di kelas biasa dan ditempatkan semula di kelas biasa. Murid-murid pemulihan akan hadir ke kelas pada waktu tertentu untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pemulihan Bahasa Melayu dan Matematik.

Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
Guru mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) menjalankan pengajaran dan pembelajaran pemulihan dalam kelas biasa. Hal ini bertujuan untuk membantu murid yang lemah menguasai kemahiran yang telah dipelajari. Sekiranya terdapat murid yang gagal menguasai kemahiran yang telah diajar, guru perlu melaksanakan pendidikan pemulihan dalam darjah dengan segera supaya tidak ketinggalan lagi.

Instrumen Penentu Penguasaan 3M (IPP3M)
Instrumen Penentu Penguasaan 3M (IPP3M) diperkenalkan bertujuan untuk mengenalpasti tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) dan menentukan kumpulan murid yang perlu meneruskan program pemulihan di samping memberi maklumat tentang tindakan yang patut diambil untuk membantu murid yang berkenaan.

Kelas Intervensi Awal 2M (KIA2M)
Program yang dirancang untuk membantu murid tahun satu menguasai dan belum menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Kumpulan murid ini terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis kerana terdapat murid yang tidak bersekolah pada peringkat prasekolah. Kelas Intervensi Awal 2M (KIA2M) akan dijalankan sepenuh masa oleh guru Bahasa Melayu tahun satu.

Program Literasi dan Numerasi (LINUS)
Berdasarkan panduan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Program Literasi dan Numerasi (LINUS) mula dilaksanakan mulai 2010 hingga 2012 di seluruh Malaysia dan bertujuan untuk memastikan semua murid Tahun 1 pada 2012 dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis (literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu berada di Tahun 4. Program ini wajib dilaksanakan di semua Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Bantuan Kerajaan (Cina dan Tamil) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Program ini dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan Matematik mengikut peruntukan waktu sedia ada dan menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang bersesuaian dengan tahap kebolehan murid. Ujian Saringan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) akan diadakan 2 kali setiap tahun terhadap murid-murid Tahun 2 dan 3 manakala 3 kali terhadap murid-murid Tahun 1.

PROTIM 3M (2013)
Sasaran program PROTIM ini adalah untuk murid tahun 4, 5 dan 6. PROTIM bagi Tahun 6 pula dijalankan selepas murid-murid selesai menduduki peperiksaan UPSR bagi memastikan murid-murid yang tamat dalam peringkat sekolah rendah dapat menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) dan dapat mengikuti perkembangan di sekolah menengah dengan baik. Selepas peperiksaan UPSR, murid-murid dalam program PROTIM akan diberikan pemulihan selama dua bulan sebelum pergi ke sekolah menengah nanti.

Isu semasa yang dihadapi dalam pelaksanaan program pendidikan pemulihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
Menurut surat khabar Cina, Nanyang Shang Pao, bulan Februari Tahun 2012, tertimbul isu tentang pelantikan guru pemulihan yang tidak fasih berbahasa Cina dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina untuk menjadi guru pemulihan khas dan menjalankan program pendidikan pemulihan terhadap murid-murid yang kebanyakan berbahasa Cina. Menurut kenyataan yang dikemukakan (Perkara 3) oleh Jiao Zong, iaitu Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM) pada 10 Februari 2012 mengatakan bahawa sebahagian Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menghantar guru pemulihan yang tidak fasih berbahasa Cina ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Peranan guru pemulihan adalah membantu murid yang lemah dalam pembelajaran tetapi bagaimana guru yang tidak fasih berbahasa Cina dapat berkomunikasi dengan murid dengan baik di samping mendidiknya. Pihak berkenaan telah berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut tetapi belum diselesaikan pada masa itu. 

No comments:

Post a Comment