Pendidikan
pemulihan di negara kita, Malaysia bermula sejak tahun 1960-an. Titik tolaknya
ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan di sembilan buah
sekolah dan berterusan sehingga tahun 1970.
Pada bulan Ogos 1975, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
menganjurkan Seminar Pengajaran Pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah
rendah. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghantar empat orang pegawai
pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara pada
tahun 1975. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) melatih 55 orang
guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) mengadakan
Seminar Pengajaran Pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan. Selain
itu, pada tahun 1972 hingga 1981, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan
Projek Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah rendah yang bertujuan untuk mengenalpasti
masalah pengajaran dan pembelajaran pemulihan murid-murid tahun satu hingga
tahun tiga.
Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan
Dasar Pelajaran Kebangsaan memperakukan supaya sekolah mengadakan Ujian Rujukan
Kriteria. Dengan berdasarkan dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan
tindakan penambahbaikan termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran
yang sesuai dalam kelas yang lebih kecil. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pula
perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran pemulihan.
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan
yang berkenaan mulai tahun 1980. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mengetengahkan
konsep 5P, iaitu penggabung jalinan, penyerapan, penilaian berterusan,
pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pendidikan pemulihan
merupakan satu daripada unsur istimewa Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).
Mulai tahun 1986, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengarahkan
semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru pemulihan khas agar
melaksanakan program pendidikan pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan itu
membayangkan bahawa pelaksanaan program pendidikan pemulihan sebelumnya adalah
pada tahap yang tidak memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya
menyediakan guru khas pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah rendah. Pada
tahun 1987, hanya terdapat 4331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6700
buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya
mampu mewujudkan 2233 jawatan guru khas pemulihan.
Pada tahun 1997, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan murid berada
dalam tahun satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75000 orang murid belum celik
huruf dan jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid.
Satu sumber lain (KPM, 1999) menyatakan bahawa antara sepuluh hingga lima belas
peratus murid sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran.
Mereka gagal menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Program pendidikan pemulihan menjadi agenda penting Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) mulai tahun 1998. Antara tindakan Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) ialah melatih guru bahasa Melayu untuk melaksanakan program
pendidikan pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan lain ialah menambah
guru khas pemulihan yang mampu mengendalikan pendidikan pemulihan berat. Selain
itu, pada bulan November 1998, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memulakan
usaha untuk menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan program pendidikan pemulihan.
Buku itu diterbitkan pada tahun 1999 dan menjadi sumber penting guru khas pemulihan
dan guru bahasa Melayu.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa
pada tahun 2005 sebanyak 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus
pelajar sekolah menengah masih belum menguasai kemahiran asas 3M (membaca,
menulis dan mengira). Jadi, mulai tahun 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
menambahbaikan program yang sedia ada dan melaksanakan program baharu bagi
mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai kemahiran asas 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira.
Program pendidikan pemulihan terpenting ialah Kelas
Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program ini bertujuan untuk
membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini
dilaksanakan oleh guru bahasa Melayu. Usaha lain ialah menambah guru khas pemulihan
melalui program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan beberapa kursus jangka
pendek yang lain.
Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online
menyiarkan berita bahawa 85000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum
menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Jadi, bermula pada tahun 2010, Program Literasi Dan Numerasi (LINUS)
menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). Program
Literasi Dan Numerasi (LINUS) berkaitan dengan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR). Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyasarkan bahawa semua
murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas
tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.
No comments:
Post a Comment